Pengikut Terbaik

Agar Suami Sayang

Agar Suami Sayang

Sebelum Senyum, Klik Ya

Pages

Saturday, March 30, 2013

Cerita Sebelum Tidur


Anak perempuanku yang berumur 4 tahun, biasanya akan meminta aku mendengarkan bedtime story sebelum dia melelapkan mata.  

Semalam aku berkata, “kali ini abah akan bercerita tentang ‘Gadis Kecil Penjual Gores Api’ karya Anderson, adik mahu dengar tak?”  


Kerana gores api sekarang sudah tak banyak digunakan lagi di rumah-rumah, maka anakku mengajukan pertanyaan, “abah, gores api itu apa?”


Kerana di rumahku juga sudah tak terdapat gores api, dan aku sendiri tak tahu bagaimana sebaiknya menjelaskannya, dengan itu aku cepat-cepat berkata, “kalau begitu begini saja, mari abah bercerita tentang ‘Gadis Kecil Penjual Pemetik Api’, okey?”



Mutiara Hikmah: Daripada Abu Musa Abdullah Bin Qais al-Ash’ari R.A, daripada Nabi S.A.W sabdanya: “Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (sebagai kemurahan-Nya menerima taubat) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang telah melakukan dosa pada waktu siang, dan membentangkan tangannya (kemurahannya untuk menerima taubat) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat.”



Tuesday, March 26, 2013

Senyum Sumbing



Setelah keluar lelaki yang ingin membeli tahi burung di kedai burung Abdul Wahab, masuk pula seorang budak kecil memerhatikan sekitar kedai.

Setelah hampir setengah jam memerhati, ketika ingin keluar dari kedai, Abdul Wahab menegur, “boleh pak cik tanya. Burung apakah yang adik cari.”

“Saya dah cari, tapi burung tu tak ada di kedai pak cik,” jawab budak kecil yang bernama Tan Hock Lye.

“Burung apa,” tanya Abdul Wahab.

“Angry Bird,” jawab Hock Lye sambil berlalu.

*******

Seorang lelaki pergi ke klinik mata. Setelah matanya diperiksa, dia bertanya, “doktor, selepas pakai cermin mata nanti, boleh ke saya membaca macam orang lain?” 

“Dah tentu,” jawab doktor. 

“Oh, gembiranya. Dah lama saya buta huruf, akhirnya boleh juga saya membaca,” kata lelaki itu dengan riang.

*******

Sepasang suami isteri bertengkar hebat, cuma gara-gara anaknya diberi nama ‘Lia’ oleh sang suami dahulu waktu lahir.  

“Sudah saya bagitahu, jangan diletak nama Lia pada anak kita. Tapi papa degil,” marah si isteri.

“Tapi, kenapa?” tanya si suami masih bertenang.

“Saya yang terkorban perasaan, para jiran kita di sini semua memanggil saya, Mama Lia, mamalia, mamalia!”


Mutiara Hikmah: Daripada Aisyah R.A: bahawa Nabi S.A.W bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah S.A.W? Sedangkan Allah S.W.T mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian.” Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?”


Monday, March 25, 2013

Tak Nak Ais Krim



Neoh Kean Bin membawa anak lelakinya bermain di taman. Melihat kanak-kanak di sekitarnya sedang makan ais krim, anaknya berkata, “makan ais krim boleh merosakkan gigi, boleh sakit perut, saya tak mahu makan ais krim.” 

Si ayah merasa anak lelakinya sangat baik, maka dengan senang hati dia berkata, “hari ini kelakuanmu patut dipuji, ayah akan memberi kamu hadiah. Kamu mahu makan apa?”  

Anak lelakinya segera menjawab, “saya mahu makan ais krim.” 


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda, “Setiap anggota manusia dkehendaki memberi sedekah selagi matahari terbit. Mendamaikan antara dua orang (yang bertelingkah itu) merupakan sedekah, menolong orang yang hendak menaiki kenderaan adalah sedekah atau mengangkat barangan ke atas kenderaan adalah sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah perjalanan untuk sembahyang adalah sedekah dan membuang benda yang berbahaya dari jalan adalah sedekah.”

Wednesday, March 20, 2013

Cara Memilih Menteri Yang Bijak



Najib Razak ingin belajar dari Lee Kuan Yew bagaimana caranya memilih menteri yang bijak. Oleh itu, dia pergi ke Singapura secara diam-diam.  

“Bagaimana caranya memilih menteri yang bijak, Mr. Lee?” 

“Kacang,” jawab Lee, “kita test saja kecerdasannya.” 

Dan tokoh Singapura itu pun memanggil perdana menterinya, Goh Chok Tong. Lee mengajukan satu pertanyaan yang mesti dijawab Goh dengan cepat dan tepat.  

“Hai, Chok Tong, katakan orang tuamu mempunyai tiga orang anak. Siapakah gerangan anak yang bukan kakakmu, dan bukan pula adikmu?”

Goh  menjawab tangkas, “jawapannya tentu diri saya sendiri.”  

Lee bertepuk tangan, “sepuluh markah untuk Goh. Sebab itu dia kupilih.”  

Najib Razak sangat terkesan dengan cara memilih gaya Lee Kuan Yew ini. Dia pulang ke Kuala Lumpur dan segera mahu menguji Muhyiddin Yassin.  

“Tan Sri,” kata Najib, “saya ingin menguji Tan Sri. Ada satu  pertanyaan yang wajib Tan Sri jawab. Katakan orang tua Tan Sri mempunyai tiga orang anak. Siapakah gerangan anak yang bukan kakak Tan Sri dan bukan pula adik Tan Sri?” 

Ternyata Muhyiddin Yassin tidak segera menjawab. Tapi dia punya akal dan minta diri sebentar ke luar ruangan, yang kebetulan ada di situ Rais Yatim.  

Let's say, Dato' Seri,” katanya kepada orang bawahannya, “misalkan orang tua Dato' Seri ada anak tiga orang. Siapakah gerangan anak yang bukan kakaknya Dato' Seri dan bukan pula adiknya Dato' Seri?” 

Rais Yatim berfikir selama lima minit, lalu menjawab, “Itu saya, Tan Sri.”  

Muhyiddin senang hati, dan masuk kembali ke ruang menanti, big bossnya, Najib. Dia meluru ke hadapan. 

“Tadi apa cluenya. Eh, soalannya sekali lagi, Dato' Seri ?”

Najib dengan sabar mengulangi, “orang tua Tan Sri mempunyai tiga orang anak. Siapakah anak yang bukan kakak Tan Sri dan bukan adik Tan Sri?”  

Muhyiddin kali ini menjawab tangkas, “jawapannya, Rais Yatim.”

Najib ketawa geli hati. 

“Macam mana ni, Tan Sri. Jawapannya yang sebenar ialah Goh Chok Tong, Tan Sri.”


Mutiara Hikmah: Dari Abu Hurairah R.A katanya: Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”




Monday, March 18, 2013

Terperosok Ke Dalam Sumur




Isteri dan suami makan malam bersama. Suami tak berbicara. Isteri ingin memecah kesunyian dengan gurauan, dengan itu dia berkata, “dua puluh tahun yang lalu, dengan tak sengaja sebuah jam tanganku jatuh ke dalam sumur di halaman depan rumahku. Kelmarin jam tangan itu berjaya ditemukan kembali, ternyata masih tetap berdetak dan jalannya juga sangat laju. Terlalu payah untuk dibayangkan.”  

Sang suami kemudian berkata, “pada dua puluh tahun yang lalu, kerana kurang berhati-hati, pak cikku terperosok jatuh ke dalam sumur di halaman depan rumahnya. Kelmarin dia baru berjaya keluar, ternyata dia juga masih sihat-sihat saja.” 

Isteri yang terpinga-pinga bertanya sang suami, “selama dua puluh tahun itu apa kerja pak cikmu di dalam sumur?”  

“Dia setiap masa terus memutar kunci jam tanganmu,” jawab sang suami. 



Mutiara Hikmah: Dari Ibnu Abbas R.A katanya: Rasulullah S.A.W membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.”



Saturday, March 16, 2013

Kita Serupa



Malam itu di hujung sebuah terowong ada seekor ibu tikus dan seekor anak tikus, sedang bersembang setelah melarikan sisa makanan dalam sebuah tong sampah.  

Anak tikus melihat seekor kelawar terbang di atasnya dan kemudian bertanya pada ibu tikus, “ibu, apa yang melayang di atas?” 

Sang ibu tikus pun menjawab, “Oh! Itu kelawar namanya.”  

Si anak tikus bertanya lagi, “tapi kenapa wajahnya mirip kita?” 

Sang ibu menjawab, “sebenarnya kelawar itu asalnya sebangsa dengan kita tapi dia ambil jurusan penerbangan.”


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Sabit, ada orang yang memanggilnya Abu Said dan ada pula yang memanggilnya Abu al-Walid iaitu Sahal Bin Hanif salah seorang yang menyertai perang Badar (bersama Rasulullah S.A.W), “Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda, sesiapa yang memohon kepada Allah mati syahid dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah akan samakan tarafnya dengan orang yang mati syahid walaupun dia mati di tempat tidur.”


Thursday, March 14, 2013

Pecah Lubang




Isteri seorang banduan memohon bantuan warden penjara supaya memberi pekerjaan yang agak ringan kepada suaminya.

“Setiap kali ketika saya datang ke mari menjenguknya, dia tak habis-habis mengeluh, katanya sudah lebih dari sebulan kebelakangan ini, keadaan fizikalnya letih teramat sangat,” jelasnya.

“Biar betul?” tanya warden penjara itu.

“Ya,” jawab wanita itu lebih lanjut, “dia memberitahu saya, selama ini dia sudah beberapa malam suntuk sedang sibuk menggali sebuah terowong di bawah tanah.”


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Ayyub Khalid Bin Zaid al-Ansori R.A: Bahawasanya seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”


Monday, March 11, 2013

Lelaki Pakistan, Israel Dan Palestin



Suatu petang, tiga orang lelaki berjalan-jalan di tepi pantai. Ketika menghampiri satu jambatan mereka terjumpa satu teko antik dan salah seorang dari mereka mengosoknya.Tiba-tiba keluarlah jin dan berjanji akan mengabulkan tiga permintaan. Oleh kerana mereka bertiga, maka jin hanya akan mengabulkan satu sahaja permintaan setiap seorang.  

Lelaki Pakistan berkata, “saya adalah seorang petani biasa, begitu juga ayah dan anak saya. Oleh sebab itu, saya ingin minta supaya tanaman kami sentisa subur selamanya.”  

Dalam sekejap mata, jin tersebut menunaikan permintaan orang pertama tersebut.  

Kemudian lelaki Israel bersuara, “saya ingin kamu membina satu tembok yang sangat tinggi, tebal dan panjang di sekeliling Israel sehingga tidak ada sesuatu dan seseorang pun lebih-lebih lagi orang Palestin menembusinya.”  

Dan dalam sekejap mata pula terbinalah tembok seperti yang diinginkannya.

Maka yang terakhir adalah lelaki Palestin, “saya ingin tahu, tembok yang macam mana kamu bina untuk orang Israel itu?”  

Jin menerangkan, “Oh, itu tembok yang sangat tinggi, tebal dan panjang mengelilingi Israel. Tingginya 100 meter dan tebalnya 50 meter. Saya jamin, takkan ada sesuatu pun dapat menumbusinya.”  

Lelaki Palestin terkesima sambil menyebut, “oooooo.”  

“Jadi sekarang, apakah permintaanmu?” tanya jin sambil menguap.  

Dengan selamba lelaki Palestin tersebut membuat permintaan, “tolong isi air penuh ke dalam tembok orang Israel.”


Mutiara Hikmah: Dari Aisyah R.A katanya: Ramai orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda: “Mereka itu tidak benar. Mereka bertanya lagi: Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu? Jawab Rasulullah S.A.W, Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.”


Sunday, March 10, 2013

Tauromachy



Seorang lelaki melancong ke Eropah untuk menyaksikan sukan lawan lembu atau dikenali sebagai tauromachy dalam bahasa Greek yang amat popular di Sepanyol. Menjadi matador atau peserta yang mengambil bahagian dalam acara lawan lembu adalah impian lelaki Rom dan Sepanyol. Kehebatan membunuh lembu dengan menusuk pedang ke badan lembu menjadi kebanggaan dan menjadi perkara biasa.

Selepas menyaksikan perlawanan laga lembu, lelaki tadi singgah di restoran yang paling dekat dengan gelanggang perlawanan tersebut. Menjadi tradisi apabila lembu yang dibunuh oleh matador tadi, telurnya akan dimasak seistimewanya dan dihidangkan kepada VVIP yang hadir menyaksikan pertunjukkan itu.

Maka setiap kali matador berjaya membunuh lembu yang ganas dan sihat tersebut maka akan disediakan menu istimewa di mana telur lembu itu menjadi santapan special tetamu yang bertaraf VVIP dan menjadi penghormatan yang amat tinggi kepada VVIP tersebut. Manakala trofi kejayaan kepada matador ialah telinga lembu tersebut menjadi hadiah berharga kepada matador tersebut.  

Suatu hari pada hari ke lima selepas tamat sukan lawan lembu, tetamu VVIP seperti biasa dihidangkan makanan istimewa untuk dinikmati oleh mereka seperti mana selalunya.

Sambil mengunyah seenaknya telur yang dihidangkan itu, lelaki tadi yang berada dalam kerumunan VVIP yang ada telah bertanya kepada waiter restoran mengapa telur yang dimasak pada hari tersebut kecil benar, berbanding sebelum ini telur lembu jantan memang besar.

Sambil menepuk belakang lelaki tadi waiter dengan selamba menjawab, “tuan, bukan selalu matador akan menang.”

Tersentak benar semua yang hadir dan ada yang setengah termuntah begitu sahaja apa yang telah dimakan sebelum ini.


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah S.A.W, “Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan ke dadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.”


Kucing Mencuri Ikan



Seekor kucing kepunyaan seorang pakar kaunselor menyusup masuk pasar jualan ikan dan mencuri seekor ikan tenggiri. 

Penjual ikan lalu pergi ke pejabat pakar kaunselor tadi dan bertanya, “kalau seekor kucing yang dilepas dan mencuri seekor ikan tenggiri dari kedai saya, apakah saya ada hak untuk menuntut ganti rugi dari pemiliknya?”  

“Tentu saja,” jawab pakar kaunselor.

Penjual ikan bersorak kegembiraan. “Bagus. Kalau begitu encik harus membayar saya RM25.00 untuk seekor ikan tenggiri yang dicuri oleh kucing encik dari kedai saya tadi pagi.”  

Pakar kaunselor tanpa sepatah kata pun terus membayar RM25.00 kepada penjual ikan tersebut.

Keesokannya ketika penjual ikan mengambil surat dari peti surat rumahnya dia terlihat sekeping surat dari pakar kaunselor tersebut.

Kandungannya: ‘RM200.00 untuk perkhidmatan kaunseling’. 


Mutiara Hikmah: Daripada Anas R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda, “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi,” berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.”


Friday, March 8, 2013

Mandikan Kucing





Seorang budak lelaki berusia lingkungan 8 tahun membeli sekotak sabun dari sebuah kedai runcit.

“Banyak sangat ke pakaian yang hendak dibasuh?” tanya pekedai itu ramah.

“Saya nak mandikan kucing,” jawab budak itu.

“Eh, tak boleh gunakan sabun ni. Sabun ni terlalu kuat untuk kucing. Silap-silap kucing kamu boleh mati,” satu luahan nasihat diberikan pekedai kepada budak itu.

Tanpa memperdulikan nasihat dari pekedai, budak itu terus berlalu setelah membayar harga sabun.

Seminggu kemudian, budak itu kembali ke kedai runcit tersebut.

“Bagaimana kucing kamu?” tanya pekedai.  

“Mati,” jawab budak itu sepatah.

“Bukan pak cik dah kata.”

“Tapi saya tak fikir sabun itu yang membunuhnya,” jawab budak itu sambil tangannya membuka penutup balang gula-gula.

“Habis, siapa yang membunuhnya?” tanya pekedai tak puas hati.  

“Mesin basuh itu. Ia berpusing terlalu laju.



Mutiara Hikmah: Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat.”



Tuesday, March 5, 2013

Judi



Enam orang lelaki sedang bermain judi ketika Cheah Karachut kalah RM500 pada satu permainan, tiba-tiba memegang dadanya dan mati menngejut di kerusinya kerana serangan jantung. Untuk menghormati rakan mereka yang mati, lima orang yang lain menyelesaikan permainan mereka dengan bermain berdiri.

Lim Peng Kak melihat sekeliling dan bertanya, “sekarang, siapa yang akan memberitahu isterinya?”

Mereka melakukan lalitamplom. Yong Bun Chet, yang selalu kalah, tewas setelah melakukan o-som. Mereka memberitahu kepadanya untuk berhati-hati, bersikap lembut, tidak membuat situasi yang buruk lebih buruk daripada itu.

“Tuan-tuan, tahukan? Aku orang paling bijaksana yang pernah kamu jumpa. Kebijaksanaan adalah nama tengahku, serahkan padaku.”

Yong Bun Chet berjalan ke rumah Cheah Karachut, mengetuk pintu, isterinya membuka pintu, bertanya apa yang dia inginkan.

Yong Bun Chet mengatakan, “suami kamu baru saja kalah bermain judi sebanyak RM500.”

Isteri Cheah Karachut berteriak, “KATAKAN PADANYA LEBIH BAIK MATI SAJA.”

Yong Bun Chet berkata, “Okey, aku akan memberitahunya.”

*******



Sambil meletak daun King di atas meja, Mie Jembalang memegang duit di atas meja.

Belum sempat duit yang dipegangnya di tarik ke arahnya, Usin Lelah menjerit ke arahnya, “nanti dulu. Aku ada daun lebih besar daripada hang.”

“Mana ada daun lebih besar dari King, pangkah Mie Jembalang.

Hang tengok ni,” kata Usin Lelah sambil meletakkan daun Queen.

Sambil menahan gelak, Mie Jembalang bersuara, “bukan saja dalam permainan terup, dalam pemerintahan beraja, tak pernah ada Queen boleh mengatasi King.”

“Ada,” jawab Usin Lelah pendek.

“Siapa?” tanya Mie Jembalang juga pendek.

“Queen Elizabeth,” jawab Usin Lelah selamba.


Mutiara Hikmah: Daripada Anas R.A daripada Nabi S.A.W dalam apa yang diriwayatkan daripada tuhannya (hadis Qudsi) firmanNya: “Jika seseorang hamba menghampiriKu sejengkal, maka Aku menghampirinya sehasta, jika dia menghampiriKu sehasta maka Aku menghampirinya sedepa dan jika dia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari.”