Pengikut Terbaik

Agar Suami Sayang

Agar Suami Sayang

Sebelum Senyum, Klik Ya

Pages

Friday, December 28, 2012

Senyum Sorang-Sorang



1. Agen Hartanah    

Seorang agen sedang cuba mempromosikan rumah yang hendak dijual kepada seorang pembeli.    

“Jika encik membeli rumah ini, encik akan mendapat beberapa keuntungan dan sedikit kerugian,” terang si agen.     

“Oh, ya ke? boleh kamu ceritakan dahulu, apakah kerugiannya?”      

“Di bahagian belakang rumah adalah tempat pembuangan sampah. Di sebelah hadapan ada kilang membuat cuka. Sementara di sebelah kiri adalah tempat memproses getah dan di sebelah kanan ada loji indah water.”     

“Habis tu, apakah keuntungannya pula?”     

“Keuntungannya, encik akan sentiasa dapat mengagak dari arah manakah angin bertiup.”   

*******    

2. Kantoi    

Suatu hari, Dato’ Jejai seorang ahli parlimen mendapat satu panggilan telefon dari seorang perempuan iaitu Jenet.    

“Selamat pagi, Dato’ Jejai,” sapa Jenet.    

“Selamat pagi, siapa di sana?”     

“Saya Jenet, yang pernah tidur bersama Dato’ suatu ketika dahulu.”      

“Hah?”    

“Kalau Dato’ tidak mahu rahsia kita ini terbongkar, saya mahu Dato’ membayar saya sebagai duit penutup mulut.”     

Okey. Baiklah. Saya akan membayarnya.”    

Walaupun dalam keadaan terpaksa, Dato’ Jejai cuba berfikir, di manakah dia pernah meniduri wanita itu. Keesokan harinya, Dato’ Jejai telah membayar sejumlah wang di suatu tempat yang telah ditentukan. 

Tetapi setelah beberapa hari kemudian Jenet telefan lagi untuk meminta wang, dan Dato’ Jejai terpaksa tunaikannya kerana takut rahsianya terbongkar.     

Setelah beberapa minggu kemudian Jenet menelefon lagi dengan menggunakan ancaman yang sama.     

Setelah mambayarnya untuk kali ketiga, dengan agak terkesima, Dato’ Jejai cuba bertanya untuk menjawab segala persoalan di hatinya.    

Okeylah, aku tunaikan permintaan kamu tapi aku akan terkeliru. Aku cuma ingin tahu, di manakah tempat kita pernah tidur bersama itu?”      

Dengan lembut Jenet menjawab, “kita kan pernah tidur bersama di kerusi dalam Dewan Parlimen sewaktu mendengar Perdana Menteri kita menbentangkan Bajet 2010.”      

*******    

3. Curang    

Setelah habis SPM, sepasang kekasih ingin melanjutkan pelajaran tetapi si gadis ingin ke utara dan si jejaka mau belajar di selatan. Kerana kasih mereka berjanji untuk setia walaupun berjauhan.    

Apabila berjauhan si jejaka sering mengirimkan khabar kepada si gadis. Kirim SMS 2,3 hari baru dibalas. Kirim email seminggu baru dijawab. Hantar surat sebulan baru mendapat balasan.     

Si jejaka pelik dengan perubahan si gadis. Lalu bertanya dengan si gadis mengapa tidak membalas khabaran darinya. Si gadis hanya membalas sibuk.    

Lalu berterusan si jejaka mengirimkan khabar yang tidak dibalas. Si gadis semakin rimas dengan si jejaka yang sering mengirim surat, sms dan email. Si gadis mula bosan dan mulalah si gadis berpacaran dengan kekasih baru. Si gadis berterus terang dengan si jejaka bahawa dia sudah mempunyai kekasih baru.    

Maka remuk redam hati si jejaka kerana kekasihnya curang. Tetapi kerana kasih dan sayang yang amat pada si gadis, si jejaka masih lagi mengirimkan surat untuk memujuk rayu kekasihnya kembali kepadanya. [adoi syahdunya]    

Si gadis semakin rimas dengan kekasih lamanya lalu dia mengambil gambarnya yang sedang mengucup mulut dengan kekasih barunya itu dan mengirim kepada kekasih lamanya dengan menulis, ‘Saya sudah ada teman baru. Jangan ganggu saya lagi’.   

Remuk hati si jejaka apabila menatap gambar si gadis mengucup mulut kekasih barunya. 

Si jejaka amat marah dan ingin membalas perbuatan si gadisnya itu dengan menulis di belakang gambar itu, ‘Kehadapan bonda dan ayahandaku. Anakanda amat gembira belajar di sini. Bolehkah ayahanda mengirimkan sedikit wang kepada anakanda ini, maklumlah kini sudah berdua’.    

Dan gambarnya itu diposkan kepada ibu bapa si gadis.    

“Puas hati aku.”

Mutiara Hikmah: Dari Abu Hurairah R.A katanya Nabi S.A.W bersabda: “Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya: ‘Ingatlah apa yang belum kamu ingat.’ Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.”

Sunday, December 23, 2012

Lawak Jenaka Pak Pandir


Pak Pandir penternak itik yang berjaya. Hasil pendapatannya yang pertama Pak Pandir membeli sebuah motorsikal. Apabila Pak Pandir menunggang motorsikal tersebut dia hanya menggunakan gear satu. Perlahan dengan gear satu, laju dengan gear satu, naik bukit dengan gear satu. Akhirnya kerana hairan, seorang temannya, Pak Kadok pun menegur, “Hoi! Pandir, gunalah gear dua, tiga atau empat.” 

Pak Pandir menjawab, “biar berjimat, habiskan dulu satu persatu.” 

Sampai di lampu merah semua kenderaan berhenti, termasuk Pak Pandir. Namun ketika lampu telah hijau dia masih terus berdiri. Dari hijau ke kuning, merah kemudian hijau lagi, dia masih belum menjalankan motornya. Akhirnya datang polis, “Hei! Kenapa belum jalan?” 

“Belum ada warna lampu yang saya sukai, encik,” jawabnya. 

*****

Setelah setahun, usahanya makin maju. Kemudian Pak Pandir memutuskan untuk membeli kereta. Sampai di  lampu merah Pak Pandir kembali berhenti, namun pintu dibuka dan kakinya diturunkan sebelah. Melihat tingkahnya polis terus menghampiri, “kenapa kaki awak diturunkan sebelah, Pak Pandir?” tanya polis. 

“Aduh! Lupa la, encik. Saya biasa naik motorsikal.” 

*****

Pak Pandir ingin membeli tv warna. Dia pun ke kedai.

“Awak ada jual tv warna?” tanya Pak Pandir kepada penjual. 

“Ada,” jawab juru jual. 

“Kasi saya tv warna hijau,” jawab Pak Pandir.

*****

Pak Pandir mahu pastikan segala kerjanya dilakukan dengan baik. Jadi setelah membuat fotokopi untuk dokumen-dokumen itu, dia selalu membandingkan salinan itu dengan salinan yang asal. Takut kalau-kalau terdapat salah ejaan.

*****

“Pak Pandir, jika terdapat kecemasan, awak dail 911. Jangan lupa lagi,” kata seorang polis berpangkat konstabel kepada Pak Pandir. 

“Saya tak lupa, tuan. Masalahnya, saya tak nampak angka 11 di talipon ini.”

*****

“Tuan, ini faks dari Pak Pandir,” kata kerani kepada pengurusnya.

“Macam mana awak tahu? Tak ada nama dia pun.” 

“Di faks ini ada setem,” jawab kerani.

*****

Pak Pandir sudah pandai bertutur dalam bahasa Inggeris, setakat ‘i am sorry’, one sampai seven tu biasa bagi Pak Pandir. 

Alkisah, suatu hari Pak Pandir jalan-jalan naik kereta dengan Mak Andeh pergi Kuala Lumpur. Ketika hampir sampai, dia telanggar kereta orang lain. Alamak! orang putih. Pak Pandir mula gelabah, Mak Andeh kata relaks abe? (ore klate) kecek la camana pun.

Pak Pandir pun keluar dari kereta, orang putih pun keluar juga, Pak Pandir pun kata –  ‘I am sorry.’ 

Orang putih tu pun kata –  ‘I am sorry too.’ 

Pak Pandir dengar ‘two’ apalagi dia jawab la – ‘I am sorry three.’ 

Orang putih tu pening, dia kata – ‘What sorry for.’ 

Pak Pandir apa lagi, dengar four dia terus jawab – ‘I am sorry five.’ Orang putih itu lagi pening, lepas tu bini orang putih tu keluar dari kereta, dia pun berkata – ‘I thing this man must be sick’ (6). 

Pak Pandir dengar six dia jawab lagi dengan selamba – ‘I am sorry seven.’

*****

Pak Pandir : Mak Andih, Oh! Mak Andih. 

Mak Andih : Ya bang. Awatnya? 

Pak Pandir : Rasa nak makan pisang la pula. Bawak mai pisang emas kat dapoq tu.

Mak Andih : Pisang tak masak lagi bang.

Pak Pandir: Laaa, gas abih dah ka

Mak Andih : ???? 

*****

Ketika menaiki sebuah pesawat Nuri ke sebuah kampung orang Asli di Paloh Inai, Pekan, Pahang, seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) berkata, “panasnya dalam helikopter ini.”

Maka dijawab Pak Pandir yang turut berada dalam helikopter itu, “mahu tak panas tuan, kipasnya besar tapi di luar.” 

*****

Satu ketika di kampung Pak Pandir jauh di pendalaman Pahang, seorang pegawai kerajaan melihat Pak Pandir mempunyai handphone, “Wah! Pak Pandir ada handphone. Ada coverage ka dekat sini?” 

Jawab Pak Pandir, “sini tak ada, tapi kalau encik mahu telefon saya punya handphone, kasi tau sama saya, saya boleh pergi ke bandar Rompin, sana ada coverage.” 

*****

Pak Pandir yang menjual petai di tepi jalan berkata kepada seorang lelaki yang bercadang membeli petai itu, “encik satu longok, RM1 sahaja. Tapi, kalau encik ambil semua, kira murah, RM20 sahaja.” 

Tanya lelaki berkenaan, “berapa longok semuanya?” 

Jawab Pak Pandir, “semuanya 20 longgok.” 


*****

Pak Pandir yang bekerja di sebuah kilang sebagai pengawal keselamatan berjumpa dengan manager ingin meminta cuti, “Tuan saya mahu minta cuti seminggu balik kampung, ada urusan keluarga. Bolehkah?” 

Jawab manager, “cuti seminggu, okeylah, saya bagi cuti seminggu. 

Selepas 14 hari, baru Pak Pandir balik bertugas. 

Dengan perasaan hairan si manager bertanya, “kenapa dua minggu cuti?” 

Jawab Pak Pandir, “saya minta seminggu cuti. Tuan bagi seminggu cuti. Jadi dua minggulah.”

Mutiara Hikmah: Daripada Abdullah Bin ‘Amru Al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala,” Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?” jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup.” Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?” Jawabnya, “Ya.” Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya.” 


Sunday, December 16, 2012

Kisah Kencing Manis



Hang tak mau pi break ka? Dah pukul satu setengah dah ni,” kata Noraini Zakaria.  

“Aku half day la. Hang ajak Hazlin Saidin teman hang la,” kata Zubaidah Khalid sambil mengemas barang-barangnya untuk pulang.  

“Huih! aku kerja petang,” kata Hazlin.  

“Kerja petang pi la buat kerja, dok kat sini dari tadi dok ushar flyer buat apa? Dah tak dak kerja nak buat?” sindir Zubaidah.

“Mr. Neoh cuti hari ini. Ah Guan pulak masuk hospital. Aku boss hari ini,” balas Hazlin.

Satgi lepas teman aku makan hang balik la,” kata Noraini.

“Mana boleh, aku janji dengan mak aku nak tengok jiran sebelah rumah masuk hospital, kena potong jari. Aku nak pi terus ni.”

“Kena potong jari, pasal apa. Hey! seriau aku,” kata Noraini.

“Kencing manis,” jawab Zubaidah pendek.

“Macam mana dia tau dia kena kencing manis,” giliran Hazlin pula menjadi reporter.

“Satu hari lepas dia kencing, semut hurung ayaq kencing dia,” terang Zubaidah.

“Jiran aku lagi teruk. Dia pun ada kencing manis. Kalau dia pi toilet semut nanti ikut dia,” kata Noraini.

“Huih! Tu takpa lagi. Jiran aku lagi teruk. Kalau dia kencing terus keluaq semut,” kata Hazlin, gelak memegang perut sambil meniru gaya Zubaidah membuat ‘peace’ di bawah dagunya.




Mutiara Hikmah: Daripada Anas R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim.”


Thursday, December 6, 2012

Aku Tanya Kau Jawab



Pemandangan dari atas perkampungan orang Melayu di Kampung Melayu Batu Uban, Gelugor, Pulau Pinang.

“Lawa rambut hang, macam Mesut Özil,” tegur Noraini Zakaria ketika Hazlin Saidin melintasi kaunter customer services. 

Hazlin yang tergesa-gesa ingin berjumpa Mr. Neoh berhenti setelah ditegur Noraini. 


“Mahal ni, kedai Bukit Jambul saja buat,” jawab Hazlin bangga. 


“Sebut pasal rambut aku ada teka-teki nak bagi kat hang. Berkaitan rambut. Antara Bukit Jambul dengan Gertak Sanggul, yang mana layak jadi ketua,” tanya Noraini. 


“Kalau aku jawab betul hang nak bagi apa,” balas Hazlin yang minat kumpulan Balas. 


“Aku belanja hang KFC.” 


“Tentulah Gertak Sanggul,” jawab Hazlin. 


“Pasal apa hang bagi jawapan Gertak Sanggul,” tanya Noraini. 


“Pasai Gertak Sanggul dekat dengan kampung aku Teluk Kumbar,” kata Hazlin. 


“Salah. Hang dengaq firman Tuhan, “lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34). Kan Bukit jambul, jantan. Gertak Sanggul, betina,” terang Noraini panjang lebar. 


“Tetapi hampa berdua jangan lupa Batu Uban, otai hoo,” kata Zubaidah Khalid yang sejak tadi diam, tersenyum sambil membuat tanda ‘peace’ di bawah dagunya.


Nota Kaki: Bukit Jambul, Gertak Sanggul, Batu Uban dan Telok Kumbar adalah nama tempat di Pulau Pinang.




Mutiara Hikmah: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Mas’ud R.A katanya, “Aku bertanya kepada Nabi S.A.W, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi S.A.W, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah.”