Pengikut Terbaik

Agar Suami Sayang

Agar Suami Sayang

Sebelum Senyum, Klik Ya

Pages

Monday, June 24, 2013

Tak Faham Bahasa



Ketua warden berusaha memberi peringatan dengan perasaan yang bersungguh-sungguh kepada seorang banduan yang akan dibebaskan sesudah menjalani hukuman.  

Di akhir perbicaraannya dia berkata, “saya harap ini adalah kali yang terakhir saya menemui kamu di sini.”  

“Apakah tuan akan bersara?” tanya banduan itu sambil menggaru kepala.





Suatu hari Mr. Bean pergi ke kedai farmasi untuk membeli vitamin kepada cucunya yang berusia empat tahun.

“Banyak jenis pil vitamin ni, encik. Encik nak yang mana satu. Vitamin A, B atau C?” tanya ahli farmasi.

“Alaaa, tak kisah la mana pun. Cucu saya belum kenal huruf pun lagi,” jawab Mr. Bean.



Mutiara Hikmah: Kaab Bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada Rasulullah S.A.W di mana baginda bersabda: “Hampiri mimbar!” Lalu kami semua menurutinya, ketika baginda melangkah ke tangga yang pertama baginda mengatakan: ‘Amin’. Apabila baginda melangkah tangga yang kedua baginda mengatakan: ‘Amin’, begitulah apabila baginda melangkah tangga yang ketiga. Lalu kami bertanyakan tentang maksud perbuatannya itu, baginda menjawab: “Aku didatangi Jibrail A.S mengatakan kepadaku: Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan. Aku pun menyahut dengan berkata: Amin. Di tangga yang kedua Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, aku pun menyahut: Amin. Di tangga yang ketiga Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Aku pun mengatakan: Amin.”



Wednesday, June 19, 2013

Pak Arab Naik Teksi Keliling ‘Tanjung’



Seorang pelancong berbangsa Arab menaiki teksi mengelilingi sekitar Georgetown duduk di sebelah pemandu. Ketika memakai tali pinggang keledar, teksinya di potong kereta pick-up yang dipandu laju, pak Arab terkejut dan berteriak, “Ustahiad, Ustahiad.”  

Tak lama kemudian teksi yang dipandu perlahan di potong dengan laju oleh sebuap jeep, si Arab berteriak lagi, “Ihsibustim, Ihsibustim.” 

Pemandu menggeleng hairan mendengar kalimat Arab yang belum pernah di dengarinya.

Ketika sampai di persimpangan Macalister Road, sebuah kereta memecut laju walaupun traffic bertukar merah. Pak Arab sambil mengeleng kepala menyebut, “Arawsi.” Pemandu teksi hairan mendengar kalimat zikirnya.

Ketika melintasi Hospital Island, sebuah kereta sport yang bumbungnya terbuka memotong dengan laju, Pak Arab berteriak, “Adzam, Adzam.” Pemandu semakin hairan.

Sebuah kereta sedan kecil menyusul dari arah kiri, pelancong Arab mendesis, “Ya Allah, Ikuzus, Ikuzus.”  

Ketika tiba di simpang tiga sebuah kereta mewah mengaum mendadak di depannya, Pak Arab berteriak, “Irarref, Irarref.” 

Pemandu teksi yang dari tadi kehairanan bersuara, “Ya Sheikh, kenapa zikir yang ente ucapkan begitu aneh. Ana belum pernah dengar zikir sedemikian rupa?”  

Pak Arab menjawab, “Siafa yang berzikiran. Ana hanya bhaca tulisan di belakang kereta-kereta yang tadi memothong ente. Bahasa ana kan bacaannya dari kanan ke kiri. 

“Unta Baghdad punya Sheikh,” kata pemandu teksi dalam hati.


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A, katanya, Rasulullah S.A.W ditanya, siapakah manusia yang paling mulia? Baginda menjawab, “Orang yang paling bertaqwa di antara mereka.” Lalu mereka (yang bertanya) berkata: “Bukan itu yang kami maksudkan,” baginda menjawab, “Kalau begitu orangnya ialah Yusuf anak kepada Nabi (Yaakub) anak kepada Nabi (Ishak) anak kepada (Nabi Ibrahim) Khalilullah.” Mereka berkata lagi, “Bukan tentang itu yang kami tanyakan.” Maka sabda baginda lagi, “Daripada keturunan Arabkah yang kamu hendak tanyakan? Mereka yang terbaik semasa Jahiliah adalah terbaik semasa Islam apabila mereka benar-benar memahami syariat Islam.”





Tuesday, June 18, 2013

Kisah Murid Sekolah




Pada hari pertama persekolahan, seorang kanak-kanak dibangunkan ibunya terlalu awal, pukul enam pagi dan persekitaran masih gelap.

“Ibu bohong, ibu bohong,” tempik anaknya.

“Bohong apanya,” kata si ibu.

“Ibu kata sekolah mula waktu pagi. Kenapa ibu tak cakap saya akan belajar di sekolah malam,” jawab si anak mencebik.





Seorang guru tadika sedang bercerita kepada murid-muridnya, mengenai biri-biri dan serigala.

Pada bab terakhir guru tadika degan nada bersahaja bercerita, “ada seekor biri-biri kerana meninggalkan kumpulannya, dia akhirnya menjadi mangsa seekor serigala.”

Kemudian guru tadika tersebut cuba memberi nasihat, “kalau biri-biri tadi patuh, tidak meninggalkan kelompoknya sendirian, dia tentu takkan diterkam oleh serigala itu, bukan?”

“Betul, cikgu. Tetapi biri-biri itu akhirnya tetap juga akan dimakan oleh kita semua,” jawab seorang budak lelaki.





Seorang guru lelaki menegur dua orang muridnya semasa di taman permainan kerana saling mengejek sambil membuat memek muka.

“Masa cikgu sebesar kamu, cikgu pernah ditegur oleh seorang guru, jangan membuat memek muka kerana muka kita boleh berubah seperti apa yang kita memekkan,” kata cikgu cuba menakut-nakutkan kedua-dua muridnya.

“Tetapi mengapa cikgu tak endahkan nasihat guru cikgu dahulu,” kata salah seorang muridnya.


Mutiara Hikmah: Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.


Monday, June 17, 2013

Pencuri Dan Lembu



Sewaktu membawa rumput untuk di beri makan kepada lembunya, Mikail menyedari empat ekor dari dua puluh ekor lembu miliknya telah hilang. Dia terus membuat laporan polis. 

Setelah seminggu melakukan operasi, pihak polis telah berjaya menangkap pencuri tersebut, iaitu Sarapudin. Mulanya Sarapudin tidak mengaku, tetapi setelah polis mengugut akan membawa semua ahli keluarganya ke lokap, Sarapudin mengaku dia terlibat mencuri lembu Mikail.

“Berapa ekor yang kamu curi?” tanya polis sambil memegang kad pengenalan Sarapudin.   

“Seekor saja, tuan,” jawab Sarapudin. 

“Kamu tak tipu?” bentak polis berpangkat sarjan.   

“Betul tuan, saya cuma curi seekor saja.”   

“Tapi menurut kata Mikail kamu telah mencuri empat ekor lembu miliknya,” kata polis sambil memandang tepat ke muka Sarapudin.

“Betul tuan, saya tak tipu, yang saya curi cuma seekor,” jawab Sarapudin membela diri.  

“Kamu jangan cuba berbohong. Mikail kata, akan lepaskan kamu kalau kamu cuma curi seekor. Tapi kamu akan dihukum penjara kalau mencuri lebih dari seekor.”   

“Betul tuan, cuma seekor. Saya cuma mencuri ibu lembu, tetapi bapa lembu dan dua ekor anaknya mengikutinya, tuan. Bukankah berdosa memisahkan sebuah keluarga?”


Mutiara Hikmah: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: “Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”



Sunday, June 16, 2013

Kean Bin Di Restoran



Kean Bin berada di sebuah restoran terkemuka di Bukit Jambul di mana tiba-tiba sahaja dia merasakan tidak dapat lagi menahan untuk melepaskan gas berada di dalam perutnya.

Ah! Memang sudah terdesak sangat, segenap ruang dalam restoran di penuhi oleh ramai orang.

Dengan orang yang begitu ramai, termasuk amoi-amoi comel yang sedang makan dan berbual-bual, Kean Bin seperti sudah mati akal. Ini mesti hasil dari telur rebus separuh masak yang di makan petang tadi. 
Lima biji dia hentam tadi. 

Sah bau mesti hilang akal punya.

Sistem bunyi restoran itu pula memang sangat-sangat kuat. Ini menambah lagi seksa deritanya.


Tiba-tiba, idea baik datang pada Kean Bin. Mengapa saya tidak lepaskan gas beracun saya ini semasa bunyi tengah kuat, fikirnya. Mesti tiada yang perasan nanti. Timing kena baik.

Semasa rentak muzik berbunyi kuat, Kean Bin tanpa segan silu melepaskan bom super kentut gas beracunnya dengan muka selamba macam tiada apa yang berlaku. 


Oh! Lega amat. Nikmatnya. Fuh, mesti ada yang termuntah. Ha! Ha! Ha! Tapi dia gelak dalam hati saja.

Selesai sahaja minum nescafe ais tadi, Kean Bin dengan pantas bangun untuk balik. Orang ramai semua tengok dia dengan muka semacam. Amoi tadi pun ada, baju basah sebab muntah. Kean Bin meraba telinga dan argghh, 
rupanya dia tengah dengar walkman. Memang mampus kali ini.



Mutiara Hikmah: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya apabila Allah S.W.T telah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka melihat kesan nikmat yang telah dikurniakan itu. Allah S.W.T benci melihat orang yang menzahirkan kefakiran dan orang yang meminta-minta serta Allah S.W.T mengasihi orang yang bersifat malu dan memelihara kehormatan.”



Saturday, June 15, 2013

Hilang Kereta




Seorang lelaki Jawa masuk ke sebuah balai polis untuk membuat report tentang kehilangan keretanya.

Wak : Tuan, saya nak buat report kereta saya hilang.

Polis : Okey, apa jenis kereta Wak?

Wak : Wak segan la.

Polis : Tak perlu nak segan-segan la Wak. Apa jenis kereta Wak?

Wak : Udah Wak cakap Wak segan tadi.

Setelah puas berbalah antara polis dan Wak, akhirnya Wak disuruh menulis jenis keretanya di atas kertas dan Wak menulis ‘VOLKSWAGEN’.

Polis : Oh! Lain kali sebut la betul-betul. Ini Wak segan, Wak segan. Jadi, apa nombor platnya?

Wak : Biji dua-dua nampak (BG 2264)

Polis : ?????



Mutiara Hikmah: Dari ˜Atha' Bin Abu Rabah R.A katanya, dia mendengar Aisyah isteri Rasulullah S.A.W bercerita: Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah S.A.W sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah: Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa. Jawab baginda: Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat.




Friday, June 14, 2013

‘San Hose’




Perbualan di sebuah lapangan terbang.

“Hai encik, khusyuk nampaknya baca surat khabar?” tegur seorang ‘mat salleh’ kepada lelaki yang duduk di sebelahnya. 

“Oh! Ya. Penerbangan ditunda. Bosan. Tak tahu hendak buat apa,” jawab lelaki di sebelahnya ramah.

“Biasalah tu. Err, encik hendak ke mana ni?” tanya lelaki Amerika itu lagi. 

“Saya hendak ke San Jose. Pertama kali di USA.”  

“Di USA, kami tak menyebut San Jose sebagai ‘San Jose’. Tapi ‘San Hose’,” lelaki Amerika membetulkan.

“Oh! Maafkan saya. Saya tidak tahu.”  

“Tak mengapa. Berapa lama anda akan berada di sana?” 

“Dari bulan ‘Hun’ hingga bulan ‘Hulai’.”


Mutiara Hikmah: Daripada Anas R.A katanya, telah bersabda Rasulullah S.A.W, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi S.A.W bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang redha dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” 




Thursday, June 13, 2013

Kisah Di Hospital


Telefon berdering dan dengan suara cemas, seorang lelaki bertanya kepada jururawat yang menjawab panggilan tersebut.

“Cik, boleh tak beritahu saya keadaan pesakit di wad 3, bilik nombor 16?” tanya lelaki itu termengah-mengah.

Kata jururawat berkenaan, “keadaannya makin tenat. Kencing manis, penyakit jantung dan darah tingginya dah teruk. Buah pinggangnya pun sudah tak berfungsi. Kesian, harapannya tipis.”

Lelaki berkenaan makin cemas, suaranya terketar-ketar, “bbbetull ke?”

“Ya encik, melawatlah sekarang,” balas jururawat. “Oh ya, lupa pula nak tanya, encik ni siapa?”

“Sayalah pesakit wad 3, bilik nombor 16. Saja tanya sebab tak ada seorang pun beritahu keadaan saya yang sebenarnya,” kata lelaki itu lalu meraung sekuat hati.

*******

Seorang jururawat di hospital sakit jiwa ternampak pesakitnya sedang menulis surat.

“Tulis surat kat sapa tu pak cik,” sapa jurarawat ramah.

“Aku tulis surat untuk diri aku sendiri,” jawab orang tua itu jujur.

“Jadi, apa yang pak cik tulis,” tanya jururawat sambil tersenyum.

“Mana aku tahu. Esok pagi bila posmen hantar, baru la aku boleh baca,” jawab orang tua itu sambil melekatkan setem di penjuru sampul surat.

*******

Suatu pagi, YB Menteri Kesihatan diundang merasmikan satu majlis di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. Sewaktu menteri itu berjalan menuju ke pentas, tiba-tiba tangannya ditarik salah seorang yang berdiri berhampirannya.

“Apa khabar, Datuk?” tanya lelaki yang menarik tangannya sebentar tadi.

“Khabar baik,” jawab Menteri Kesihatan sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Lu apa nama,” tanya lelaki itu lagi.

“Neoh Kean Bin.”

“Lu kerja apa?” 

“Saya menteri, Menteri Kesihatan.”

Sambil berbisik, lelaki itu berkata, “Ishhh! Lu jangan cakap kuat-kuat.”

“Apa pasal,” tanya Menteri Kesihatan.

“Dulu bila olang tanya sama gua, gua cakap nama dan kilija sama macam lu, Datuk. Polis tangkap, kasi gua masuk ini tempat sampai sikalang.”


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW, “Malapetaka itu akan terus menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan, menimpa dirinya, anaknya ataupun hartanya sehingga dia menemui Allah Taala dalam keadaan bersih daripada segala kesalahan.” 


Wednesday, June 12, 2013

Di Larang Memancing



Anggota polis yang sedang meronda sebuah tasik di tengah ibu kota pada suatu petang, ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Saudara,” kata polis sambil memandang ke arah kaki kanan lelaki tersebut yang direndam di dalam air.

“Di sini tak dibenarkan memancing,” sergahnya.

Lelaki itu mengangkat kakinya, ada tali tangsi terikat pada ibu jari.

“Tttapi, encik,” katanya tergagap-gagap, “ssayaa tak memancing, saya cuma mandikan cacing ini.”

“Boleh saya tengok cacing itu?” tanya anggota polis lalu membongkokkan badan.

“Takk takkk ada masalah,” balas lelaki itu sambil menunjukkan cacing tersebut.

“Awak ditahan kerana mandikan cacing tanpa pakaian renang,” kata polis lalu menggari tangan pemuda tersebut.


Mutiara Hikmah: Dari Aisyah R.A katanya:. Ramai orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda: “Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi: “Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.”

Tuesday, June 11, 2013

Hukuman Penjara Seumur Hidup Untuk Pencuri Ikan




















Sesudah diadili ke muka pengadilan, seorang lelaki muda akhirnya meringkuk ke dalam penjara.

Hari pertama, kawan satu sel dengannya bertanya, “umur kamu masih muda tetapi mengapa menginap di penjara yang kamu pilih, kesalahan apa yang telah kamu lakukan?”

“Mencuri ikan,” jawab banduan muda ringkas.

Rakan satu selnya bertanya lagi, “kamu dipenjara berapa tahun?” 

“Aku dikenakan hukuman penjara seumur hidup.”

Dengan perasaan hairan banduan senior itu bertanya lebih lanjut, “mencuri ikan tak akan dihukum seberat ini, adakah ikan yang kamu curi itu ikan paus?”

Banduan muda berkata, “aku hanya mengebom ikan di dalam sungai, apabila sebuah detonator tenggelam, kemudian tiga ekor ikan terapung di permukaan air.”

Kerana belum berpuas hati banduan tua terus mengajukan soalan, “ini cuma kes biasa, paling koman kamu boleh ditahan dua hari saja.”

Banduan muda berkata, “persoalan sebenarnya, tak lama kemudian terapung pula mayat beberapa orang penyelam.”


Mutiara Hikmah: Daripada  Abu Hurairah R.A katanya: Nabi SAW bersabda: “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa: ‘Ya Allah Ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu’.”



Thursday, June 6, 2013

Ramalan



Di pedalaman perkampungan Borneo, diam seorang ‘mat saleh’ yang bernama Mr. John. Hobinya adalah jungle trekking. Yang merisaukan dia ketika trekking iaitu keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang kampung menasihati Mr. John supaya mendapatkan ramalan daripada seorang dukun orang asli kerana ramalan dia selalunya sangat tepat.

“Penduduk kampung said, uncle pandai meramal cuaca. Hmm, can I know, tomorrow hujan or tidak?” tanya Mr. John suatu pagi ketika berjumpa dukun tua itu di pasar tani.

“Hujan,” jawab dukun tua itu sepatah.

Owh, really? Thanks ya. Tomorrow I takkan masuk hutan.”  

Keesokan harinya, Mr. John datang pula ke rumah dukun untuk mendapatkan ramalan pak dukun.  

Uncle, tomorrow hujan atau tidak?”  

“Tak hujan,” jawab dukun sambil membalut daun rokok, dan dia tidak lagi menghisap Dunhill kerana harga rokok telah naik.  

Selepas mendengar ramalan pak dukun, Mr. John segera menyiapkan semua kelengkapannya untuk masuk ke dalam hutan. Aktiviti jungle trekking berjalan sungguh lancar. Dia rasa sangat gembira sekali.

Selang beberapa malam, Mr. John datang bertemu dengan pak dukun untuk mendapatkan ramalan kerana keesokannya dia ingin masuk ke dalam hutan sekali lagi.  

Kata Mr. John, “Wow, ramalan uncle memang tepat. I sungguh tak sangka. Can I know cuaca esok pula uncle?”

“Saya tak tahu. Hari ini radio saya rosak.”


Mutiara Hikmah: Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.”





Cara Menambah Ghairah Hubungan Suami Isteri


Pernikahan seorang lelaki terasa sedikit membosankan, sehingga dia meminta seorang rakan memberikan idea tentang bagaimana untuk menambahkan kegembiraan ke dalam pernikahannya.  

“Senang,” rakannya berkata, “kamu boleh berselingkuh.”  

“Saya tidak akan melakukan perkara itu! Saya amat setia dengannya,” sahut lelaki bermasalah itu. 

“Jika kamu meyakinkan dia untuk membiarkan kamu melakukannya, itu tidak disebut sebagai selingkuh.”  

Lelaki itu setuju untuk mencuba. 

Ketika pulang kerja, isterinya menyambut dengan wajah yang ceria sambil memegang tangannya, dia menyuarakan hasrat agar dia mengadakan affair untuk menambah ghairah dalam rumah tangga mereka.  

“Sayang,” isterinya berkata, “itu tidak akan membantu pernikahan kita. Percayalah, aku sudah mencubanya.” 


Mutiara Hikmah: Daripada Mu’awiyah Bin Haidah R.A katanya aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri terhadap suaminya?” Jawab baginda, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan memberi pakaian apabila engkau berpakaian dan jangan engkau memukul muka dan jangan engkau menghinanya dan janganlah engkau asingkan (ketika nusyuz) melainkan di dalam rumah.”