Pengikut Terbaik

Agar Suami Sayang

Agar Suami Sayang

Sebelum Senyum, Klik Ya

Pages

Saturday, June 30, 2012

Tiga Cerita. Tiga Gelak


1. Pelupa 

Sepasang atuk dan nenek yang akhir-akhir ini menjadi pelupa dalam segala hal, akhirnya pergi menemui doktor. Doktor mengatakan bahawa secara fizikal mereka sihat sahaja. Doktor menyarankan agar mereka membiasakan diri untuk menulis apa saja untuk membantu mereka mengingat segala perkara.

Suatu malam kedua atuk dan nenek tersebut sedang menonton TV, tiba-tiba si atuk berdiri.

“Mahu ke mana?” tanya nenek perlahan.

“Oh, aku mahu ke dapur untuk mengambil segelas air,” jawab atuk selamba.

“Kalau begitu tolong bawakan saya AISKRIM VANILA,” pesan nenek.

Okey,” jawab atuk sepatah.

 “Eh, tunggu. Sebaiknya abang tulis dulu supaya tidak lupa,” pesan nenek.

“Ah, tidak perlu. Aku ingat. Aiskrim vanila kan?” atuk mengulang.

“Kalau begitu tambahkan strawberry dan krimnya.”

“Beres,” angguk atuk.

“Ah! Sebaiknya tulis semua pesananku itu. Nanti pasti abang akan lupa semuanya,” pesan nenek sekali lagi.


“Jangan bimbang. Aku masih ingat. Aiskrim vanila, strawberry dan krimnya bukan?” jawab atuk confident.

Dua puluh minit kemudian si atuk datang dan memberikan kepada nenek sepiring daging dan beberapa biji telur rebus.

Dengan wajah terkejut nenek pun sound, “nah! Saya dah kata, abang akan lupa pesananku. Sepatutnya ditulis dulu.”

“Iya ke? salah ke? Apa yang kamu pesan tadi?” atuk cuba defend diri.

“ROTI BAKAR ISI JAM STRAWBERRY,” sahut nenek bebal.


*******

                              

2. Kantoi

Suatu hari ayah Naim dipanggil guru besar sekolah kerana Naim didapati selalu meniru di dalam ujian. Setiap kali ujian, Naim didakwa selalu duduk di sebelah Azim.

“Saya tak percaya anak saya meniru setiap kali ujian,” bela ayah Naim.

“Betul encik, kami bukan tuduh begitu sahaja, kami ada bukti,” jawab guru besar.

“Apa buktinya?”

“Nah, ini buktinya. Kalau encik tak percaya tengoklah sendiri.”

Ayah Naim melihat kertas jawapan Naim dan Azim. Soalan pertama : Siapakah bapa kemerdekaan Malaysia? Naim dan Azim memberikan jawapan yang sama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra.

“Memanglah jawapan mereka sama. Macam mana cikgu kata anak saya meniru?” sebutir peluru dilepaskan tepat ke muka guru besar.

“Sabar encik, cuba encik lihat soalan kedua,” guru besar menenangkan bapa Naim yang sudah naik hantu macam P.Ramlee melembutkan Babjan bapa Dayang Sofia yang naik angin ingin membelasah Ajis dalam filem Bujang Lapok.

Ayah Naim melihat soalan kedua : Pada tahun berapakah negara kita mencapai kemerdekaan? Sekali lagi Naim dan Azim memberikan jawapan yang sama : 31 Ogos 1957. Ayah Naim sekali lagi marah, tetapi ditenteramkan untuk membaca soalan ketiga : Siapakah yang duduk di sebelah Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka?

Azim menulis : Maaf, saya tak tahu.

Naim menulis : Kalau kau tak tahu, aku lagi tak tahu.


*******



3. Jujur

Alkisah diceritakan dalam hikayat satu hari satu malam maka tersebutlah kisah seorang pencari kayu. Adapun si pencari kayu ini terkenal dengan sifat jujurnya lagi ikhlas. Beliau tinggal dipinggir hutan bersama isteri tersayang, hidup bahagia walaupun tiada cahayamata.

Suatu hari, ketika pencari kayu sedang menebang sebatang pokok di tepi sungai dengan tak semena-mena terlepaslah kapak besinya ke dalam sungai. Si pencari kayu berasa sedih kerana satu-satunya kapak yang merupakan hartanya telah hilang dalam sungai yang dalam itu.

Tiba-tiba muncul menjelma seorang pari-pari dan bertanya pada si pencari kayu, “mengapa bermuram durja wahai tuan hamba?” 


Si pencari kayu pun memberitahu keadaan hal yang berlaku. Pari-pari tadi turun ke dalam sungai dan muncul dengan membawa ke hadapan pencari kayu sebilah kapak emas.

“Adakah ini kapak milik tuan hamba?” tanya pari-pari.


“Bukan,” jawab si pencari kayu ringkas.

Pari-pari turun semula ke dalam sungai dan kembali dengan membawa kapak dari perak.


“Yang ini tuan hamba punya?” tanya pari-pari lagi.

“Bukan yang ini,” jawab si pencari kayu.

Sekali lagi pari-pari turun ke dalam sungai kali ini membawa kapak dari gangsa.

Err mungkin yang ini?” duga pari-pari.


“Pacal yang hina ini tidak mempunyai kapak yang bernilai seperti ini,” jawab si pencari kayu jujur.


Akhirnya pari-pari turun ke dalam sungai dan naik memegang kapak besi milik si pencari kayu.

“Ya, inilah kapak hamba yang terjatuh ke dalam sungai tadi.”


Gembira dengan sifat kejujuran si pencari kayu, maka pari-pari memberi keempat-empat kapak kepada si pencari kayu. Si pencari kayu pulang ke rumah begitu gembira sekali.

*************************************************************************

Selang beberapa tahun, si pencari kayu dan isteri berjalan di tepi sungai menuju ke pekan. Si isteri tersadung kaki pada batu lalu terjatuh ke dalam sungai tidak timbul-timbul. Maka meratap menangis si pencari kayu atas kehilangan isteri tercinta.

Pari-pari muncul lagi lalu bertanya akan hal keadaan yang menimpa si pencari kayu. Dengan nada sedih dia berkata, “isteri hamba terjatuh ke dalam sungai tidak timbul-timbul.”


Dengan segera pari-pari turun ke dalam sungai kembali bersama-samanya Neelofa.

“Ini isteri tuan hamba?” tanya pari-pari menduga.


“Ya. Betul isteri hamba,” jawab si pencari kayu.

Pari-pari begitu marah, “penipu, pembohonggg. Nah terima baaa," belum sempat pari-pari habis menyumpah, si pencari kayu berkata, “maafkan hamba. Bukan niat hamba berbuat demikian. Ini hanya salah faham.”

“Jikalau hamba berkata, ‘TIDAK’, tentu tuan hamba akan muncul dengan Anzalna dan selepas itu Tasha Shila. Akhirnya jikalau tuan hamba muncul bersama isteri hamba dan hamba kata ‘YA’, tentu tuan hamba akan memberi keempat-empat mereka kepada hamba sedangkan hamba cuma seorang pencari kayu yang miskin. Sebab itulah hamba kata ‘YA’,” terang si pencari kayu ikhlas.



Mutiara Hikmah: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.”


No comments:

Post a Comment